Biologi dan tabiat Harimau

Kewilayahan

Pada pokoknya, harimau merupakan haiwan yang berkelakuan bersendirian dan kewilayahan. Saiz liputan tempat tinggal harimau banyak bergantung pada kecukupan mangsa dan peluang mengawan. Seekor harimau betina boleh menguasai wilayah seluas 20 kilometer persegi, manakala harimau jantan pula lebih luas wilayahnnya, iaitu sekitar 60–100 km2. Liputan wilayah seekor harimau jantan sering bertindan dengan beberapa wilayah harimau betina.

Kebanyakan harimau gemar bersendirian.

Hubungan antara harimau individu agak kompleks, kerana nampaknya harimau tidak mengikuti apa-apa "ketetapan" berkenaan hak kewilayahan dan pencerobohan wilayah. Contohnya, walaupun sering mengelakkan diri dari satu sama lain, namun pernah dirakamkan juga harimau jantan mahupun betina berkongsi habuan buruannya. Misalnya, George Schaller memerhati seekor harimau jantan berkongsi habuan dengan dua ekor harimau betina dan empat ekor anak harimau. Harimau betina biasanya keberatan untuk membenarkan harimau jantan mendekati anak-anaknya, tetapi Schaller memerhati harimau betina tersebut tidak berbuat apa-apa untuk melindungi anak-anaknya dari harimau jantan, jadi mungkin sekali harimau jantan itu merupakan bapa kepada anak-anak harimau itu. Harimau jantan membenarkan harimau betina dan anak-anaknya memakan habuan dahulu. Lebih-lebih lagi, harimau kelihatan agak berbaik-baik berkongsi habuan, berbanding dengan singa yang cenderung berkelahi dan berbalah. Pernah diperhatikan juga harimau bukan saudara memakan mangsa bersama-sama. Rangkap berikut dipetik dari buku Stephen Mills yang berjudul Tiger, yang mana beliau mengisahkan peristiwa yang disaksikan oleh Valmik Thapar dan Fateh Singh Rathore di Ranthambhore:[30]

Seekor harimau betina dominan yang bergelar Padmini membunuh seekor nilgai (sejenis antelop besar) jantan seberat 250 kg (550-lb). Mereka menemui Padmini bersama habuannya dan anak-anaknya yang berusia 14 bulan, sebaik sahaja selepas waktu subuh lalu memerhatinya tanpa henti selama sepuluh jam. Sepanjang berjam-jam ini, keluarga Padmini disertai oleh dua harimau betina dan seekor harimau jantan, ketiga-tiganya juga kelahiran seperanak Padmini yang dahulu; ditambah oleh dua harimau bukan saudara, iaitu seekor betina dan seekor lagi tidak pasti jantinanya. Pada pukul tiga, terdapat sembilan ekor harimau di sekeliling habuan itu.

Harimau betina muda cenderung mengasaskan wilayah pertamanya berhampiran dengan kawasan induknya. Lama-kelamaan pertindanan wilayah harimau betina muda itu dengan ibunya semakin berkurangan. Harimau jantan pula lebih berjauhan dari induk berbanding harimau betina, iaitu keluar pada usia yang agak muda untuk menandakan kawasan sendiri. Seekor harimau jantan muda memperoleh wilayahnya sama ada dengan mencari liputan yang tiada harimau jantan yang lain, atau tinggal dalam wilayah harimau jantan lain buat seketika, sehingga usianya dan kekuatannya mencukupi untuk mencabar tuan rumahnya. Kadar kematian tertinggi (30-35% setahun) di kalangan harimau jantan berlaku di kalangan harimau jantan muda yang baru meninggalkan kawasan induknya untuk mencari wilayah sendiri.[31]

Harimau jantan lebih tidak tahan dengan kehadiran jantan yang lain dalam wilayahnya berbanding harimau betina terhadap betina yang lain. Walaupun begitu, perbalahan wilayah selalunya dileraikan dengan sekadar menakut-nakutkan satu sama lain daripada tindakan agresif terang-terangan. Beginilah yang diperhati dalam peristiwa-peristiwa sedemikan, yang mana harimau menandakan penyerahan kalah dengan bergolek pada belakangnya sambil mendedahkan dadanya secara postur menyerah.[32] Selepas itu, harimau jantan yang dominan boleh bertoleransi dengan peserahnya dalam liputannya, asalkan tidak terlalu berhampiran sesama sendiri.[31] Perbalahan yang ganas sekali boleh tercetus antara dua ekor harimau jantan apabila seekor harimau betina sedang mengalami estrus, hingga boleh berakhir dengan kematian sebelah pihak, inipun jarang berlaku.[31][33]

Untuk menandakan wilayahnya, harimau jantan membuang air pada pokok, di samping meninggalkan jejak dengan tinjanya. Harimau jantan mengerut mukanya apabila mengesan kesuburan seekor harimau betina dengan menghidu air kencing harimau betina.

Pelbagai teknik telah digunakan untuk mengkaji harimau di alam liar. Pada awalnya, bilangan harimau dianggarkan dengan mengisi kesan jejak kakinya dengan acuan lepa, sehingga kaedah ini didapati kurang berkesan[34] lalu diganti oleh cubaan kaedah menggunakan rakaman kamera. Teknik-teknik terkini yang menggunakan DNA yang dipetik pada tinjanya juga dinilai. Kaedah relang leber radio juga diterima secara meluas untuk menjejaki harimau liar untuk tujuan penyelidikan.

Pemburuan dan pemakanan

LoL hiffAKegigian harimau (atas), dibandingkan dengan kegigian beruang hitam Asia (bawah). Gigi taring besar digunakan untuk melakukan gigitan pembunuh, tetapi karnasial gigi pula digunakan untuk mengoyak daging ketika makan.

Di alam liar, harimau biasanya memakan haiwan bersaiz besar atau sederhana. Sambar, seladang, rusa bintik, babi hutan, nilgai dan kerbau merupakan mangsa kegemaran harimau di India. Adakalanya, harimau juga memburu harimau bintang, ular sawa, beruang sloth dan buaya. Di Siberia, spesies mangsa utamanya ialah wapiti Manchuria, babi hutan, rusa sika, moose, kijang, dan rusa kesturi. Di Sumatera pula, sambar, kijang, babi hutan, dan tenuk dimangsakan pula. Seperti haiwan pemangsa yang lain, harimau mencuri peluang memakan mangsa yang lebih kecil seperti monyet, burung merak, kelinci, dan ikan.

Gajah dewasa sememangnya terlalu besar untuk dijadikan mangsa utama harimau, tetapi selalunya terjadi perbalahan antara harimau dan gajah. Pernah diperhatikan juga seekor harimau membunuh seekor Badak Sumbu India.[35] Adakalanya anak gajah dan anak badak dijadikan mangsa harimau, begitu juga dengan haiwan jinak seperti anjing, lembu, kuda dan keldai.[36]

Harimau yang berusia lanjut atau tercedera, hingga tidak mampu mengejar mangsa semula jadinya, boleh bertukar menjadi pemakan manusia, terutamanya di seluruh India. Di kawasan Sundarban pula, adanya juga harimau sihat yang mengejar nelayan dan penduduk kampung yang mencari hasil hutan, menjadikan manusia sebagai sebahagian kecil dalam pemakanan harimau.[37] Sekali-sekala harimau memakan tumbuh-tumbuhan untuk memperoleh serabut diet, terutamanya sekali buah Careya arborea.[36]

Keunggulan harimau sebagai pemangsa hebat terletak pada rahangnya yang amat kuat serta giginya yang tajam sekali.

Harimau biasanya berburu pada waktu malam[38], secara bersendirian dan menyerang hendap mangsa seperti jenis-jenis kucing yang lain, mengatasi mangsa dari mana-mana sudut, menggunakan kebesaran dan kekuatannya untuk menjatuhkan mangsa yang besar. Walau begitu berat sekalipun, harimau boleh berlari sepantas 49-65 kilometer sejam (35-40 batu sejam), tetapi hanya boleh memecut untuk masa yang singkat kerana stamina yang terhad. Oleh itu, harimau mesti cukup dekat dengan mangsa sebelum menyerang. Harimau begitu hebat lompatannya, iaitu dilaporkan melompat secara mengufuk melebihi 10 meter, tetapi biasanya banyak melompat sepanjang separuh jarak tersebut. Sungguhpun demikian, hanya satu daripada dua puluh buruan berjaya memperoleh habuan.[38]

Ketika memburu mangsa yang lebih besar, harimau lebih gemar menahan mangsa pada tanah dengan kaki hadapannya, sambil menggonggong kerongkong mangsa sehingga mati.[39] Dengan cara inilah, seladang dan kerbau seberat satu tan pun boleh tewas kepada harimau yang hanya seberat satu perenam berat mangsanya.[40] Bagi mangsa yang lebih kecil, harimau menggigit tengkuknya hingga terpatah saraf tunjangnya, menusuk salur udaranya, atau memutuskan urat jugulum atau arteri karotid amnya.[41] Walaupun jarang diperhatikan, ada sebilangan harimau yang dicatatkan memukul mangsa hingga mati dengan tapak kakinya yang cukup kuat untuk menghancurkan tengkorak lembu ternakan,[36] mahupun mematahkan tulang belakang beruang sloth.[42]

Pada 1980-an, seekor harimau bernama "Genghis" di Taman Negara Ranthambhore diperhatikan sering memburu mangsa melalui air tasik yang dalam,[43] iaitu corak kelakuan yang tidak pernah disaksikan sepanjang dua abad lebih pemerhatian harimau. Lebih-lebih lagi, Genghis menunjukkan prestasi cemerlang sebagai seekor harimau kerana sebanyak 20% buruan berjaya dibunuhnya.

Pembiakan

Seekor harimau betina bersama anak-anaknya di Taman Simpanan Harimau Kanha, India.

Harimau boleh mengawan bila-bila masa sepanjang tahun, tetapi bulan November hingga April menjadi pilihan kebanyakan haiwan ini.[44] Seekor harimau betina hanya membuka dirinya kepada pasangan selama beberapa hari, dan ketika inilah pengawanan kerap berlaku. Sepasangan harimau bersanggama dengan kerap dan bisingnya, seperti jenis kucing yang lain. Tempoh kebuntingan harimau adalah selama 16 minggu, kemudian menghasilkan seperinduk tiga atau empat anak harimau yang beratnya 1 kilogram (2.2 lb) seekor dan lahir dalam keadaan buta dan lemah. Ibu harimau bersendirian melindungi anaknya dengan melindunginya jerumun seperti belukar dan rekahan batu. Bapa harimau pula biasanya tidak berbuat apa-apa pun untuk menjaga anak-anaknya. Harimau jantan yang tiada pertalian saudara juga boleh membunuh anak harimau semata-mata untuk membukakan hati harimau betina, kerana harimau betina boleh beranak lagi dalam masa 5 bulan sekiranya kehilangan anak-anak yang sebelumnya.[44] Kadar kematian anak harimau agak tinggi, iaitu kira-kira separuh darinya tidak sempat mencecah usia dua tahun.[44]

Dalam setiap seperinduk wujudnya seekor anak harimau dominan, biasanya jantan.[43] Anak ini biasanya menguasai adik-beradiknya ketika bermain dan selalunya lebih cukup aktif sehingga boleh meninggalkan induknya lebih awal dari biasa. Pada usia lapan minggu, anak-anak harimau sedia mengikuti induknya keluar dari jerumun, tetapi tidak bersiar-siar bersama induknya yang merayau-rayau di wilayahnya sehingga usianya cukup matang. Anak harimau mula berdikari pada usia sekitar 18 bulan, tetapi ketika mencecah usia 2–2½ tahun barulah boleh menjauhi ibunya. Harimau betina mencapai kematangan seks pada usia 3–4 tahun, manakala yang jantan pula 4–5 tahun.[44]

Sepanjang hayatnya, seekor harimau betina melahirkan bilangan anak jantan dan betina yang lebih kurang sama rata. Harimau juga membiak dengan sihat dalam kurungan, hinggakan bilangan harimau dalam kurungan di Amerika Syarikat mampu mengatasi bilangan harimau liar sedunia.[45]

Hubungan dengan pemangsa lain

Harimau belang sekali-sekala boleh membunuh pemangsa yang cukup menggerunkan seperti harimau bintang, ular sawa dan buaya,[46][47][48] walaupun haiwan pemangsa biasanya menjauhi satu sama lain. Apabila ditangkap oleh buaya, harimau boleh menyerang mata buaya dengan tapak kakinya.[36] Harimau bintang mengelak persaingan harimau belang dengan memburu mangsa yang berlainan pada waktu yang berlainan.[35] Disebabkan begitu banyak mangsanya, harimau belang dan harimau bintang kelihatan tidak sukar hidup bersama tanpa terjejas oleh persaingan atau hierarki kedominanan antara spesies yang lebih kerap ditemui di kawasan savana.[49] Diketahui juga bahawa harimau boleh menindas serigala di kawasan-kawasan yang diduduki bersama oleh kedua-dua spesies.[50][51] Diperhatikan juga gerombolan anjing hutan bermati-matian menyerang lalu membunuh harimau kerana merebut makanan.[42] Harimau Siberia dan beruang perang boleh bersaing sesama sendiri dan selalunya mengelak daripada bertembung; namun demikian, harimau boleh membunuh anak beruang dan adakalanya beruang dewasa juga. Beruang hitam Asia dan beruang perang merupakan 5-8% makanan harimau di Timur Jauh Rusia.[15] Juga dicatatkan pula beruang perang membunuh harimau sama ada untuk mempertahankan diri mahupun merebut makanan.[18] Sebilangan beruang yang bangun dari hibernasi boleh cuba mencuri habuan harimau, namun adakalanya harimau sedia melindungi makanannya. Beruang sloth agak agresif dan adakalanya mengusir harimau muda agar menjauhi makanannya, walaupun adalah lebih kerap bagi harimau Benggala menjadikan beruang sloth sebagai mangsa.[15]